Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Sementara calon Bebas telah ditolak pencalonannya kerana tidak mengemukakan borang notis kebankrapan.

Proses penyerahan borang pencalonan pagi ini didahului oleh calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Rapelson Richard Hamit, sebaik sahaja selesai pengumuman pembukaan penyerahan borang pencalonan diumumkan oleh SPR pada jam 9 pagi.

Perkarangan Masjid Daerah di sini sudah mula sibuk seawal 8 pagi apabila kumpulan penyokong mulai berkumpul untuk berarak ke pusat penamaan calon.

Calon kedua yang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pertandingan Johnny Anak Aput dari STAR dan seterusnya diikuti oleh calon Bebas, Asbor Abdullah.

Sementara itu, calon BN Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu tiba di pusat penamaan calon sebaik selepas ketibaan calon Bebas.

Setakat jam 9.45 pagi, empat orang calon telah hadir ke pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan masing masing.

BN Sarawak yang bermesyuarat pada 1 Februari lepas telah meletakkan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu, sebagai calon pada PRK ini, manakala PKR yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Kira-kira 250 petugas pilihan raya dilantik untuk mengendali proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919, yang mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.