SRI AMAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat turun padang membantu calon Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusi BN itu berkata beliau mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen kelak.

"Saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk membawa tokoh daripada GPS bagi membantu kempen di enam negeri... insya-Allah, (Pengerusi GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri akan pilih siapa yang akan turun untuk bantu kita dalam PRN nanti," katanya pada sidang media selepas majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak di sini hari ini.

Berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata pemimpin politik seharusnya membawa agenda penyelesaian masalah rakyat yang boleh dilaksanakan lebih baik dengan keadaan politik yang stabil.

"Saya yakin pengalaman PRN di Sarawak boleh kami (BN) pinjam untuk diguna pakai agar kestabilan Sarawak boleh dipelajari di enam negeri itu nanti... sebagai contoh, kepimpinan Abang Johari menyantuni semua parti di Sarawak dengan baik.

"Ini patut diikuti di Semenanjung, jangan main terlalu banyak isu perbezaan pendapat dan timbulkan fitnah yang boleh meresahkan rakyat serta timbulkan isu keagamaan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengumumkan peruntukan RM300 juta untuk menaik taraf jalan Ulu Skrang yang berbatu kepada jalan raya berturap serta RM5.76 juta bagi membina jambatan baharu konkrit di Nanga Entalau.

-- BERNAMA