KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan anak lelakinya, Afiq Amani hadir di khemah berbeza bagi memberi sokongan kepada calon parti masing-masing di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Majlis Daerah Ketereh, di sini, pada Sabtu.

Annuar tiba bersama lebih 3,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) yang berarak sambil berselawat dan melaungkan kalimah Allahuakhbar.

Calon dan penyokong PN turut menunaikan solat sunat hajat di pekarangan pusat penamaan calon itu sebelum masuk ke dalam dewan.

Afiq Amani yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh pula hadir bersama bekas penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan mengiringi calon Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH).

Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional ketika ditemui berkata, kehadiran beliau sebagai ahli parti bagi memberikan sepenuh kerjasama kepada PN kerana kawasan itu pernah diwakilinya sebagai ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

“Saya kini sebagai ahli Pas wajib memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua calon PN yang bertanding.

“Saya harapkan mereka akan mencapai kemenangan yang cemerlang bersama semua calon PN di enam negeri. Saya berada di sini untuk memberikan sokongan moral dan peribadi kepada calon yang dipilih,” kata beliau kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Pada PRN kali ini, DUN Melor menyaksikan pertembungan antara Wan Rohimi Wan Daud (PN-Pas) dan Azmi Ishak (BN) manakala di DUN Kok Lanas, calon PN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (PN-Parti Pribumi Bersatu Malaysia) melawan Ahmad Deraman (BN) sementara di DUN Kadok di antara Datuk Azami Mohd Nor (PN-Pas) dan Ir Mohd Azizan Razak (PH-Parti Amanah Negara). - Sinar Harian