KEPALA BATAS: Berbekalkan pengalaman sebagai bekas menteri, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan akan bekerja keras untuk membawa pembangunan ke kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

Beliau yang pernah berkhidmat selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022) serta Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) berkata, kemampuannya untuk membawa perubahan akan bertambah baik apabila pentadbiran pusat mempunyai keserasian dengan kerajaan negeri.

"Bayangkan kalau saya dipilih, bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya juga dah dikenali Kerajaan Pusat sebagai menteri di dua kementerian, ramai Ketua Setiausaha Kementerian kenal saya.

"Bukan nak bangga, ini maknanya saya di posisi mudah untuk membawa perubahan di sini. Kita tidak boleh buat janji retorik, tetapi perlu bersandarkan realiti, dalam memastikan sama ada ia (janji) boleh dicapai atau tidak," katanya dalam satu temu bual eksklusif di sini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau bersyukur diberi peluang membawa limpahan pembangunan di Kepala Batas dengan meneruskan legasi bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah.

Reezal Merican berkata kawasan Kepala Batas yang merangkumi DUN Bertam, Pinang Tunggal dan Penaga telah melalui pembangunan pesat, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Klinik Kesihatan Kepala Batas; Hospital Kepala Batas; Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dan Pangkalan Udara Wilayah Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bertam.

Selain itu katanya Institusi pendidikan yang merangkumi 44 buah sekolah; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab; Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang; Institut Latihan Kepala Batas; Kolej Komuniti Kepala Batas dan Pusat GiatMara Pulau Pinang, juga disediakan bagi memberi pendidikan kepada golongan belia.

Anak kelahiran Bertam, Kepala Batas itu berkata Kepala Batas Youth Centre (KBYC) bernilai RM45 juta di DUN Bertam yang bakal disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi, merupakan hasil usahanya yang berhasrat untuk melihat kewujudan sebuah pusat sehenti aktiviti belia di sini.

Berkeluasan 10.12 hektar yang dilengkapi pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa seperti padang bola dan trek sintetik, beliau berkata ia juga akan menjadi hab sukan di wilayah utara Semenanjung di samping memberi semangat baharu kepada golongan belia yang aktif bersukan.

Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas selama 10 tahun itu, berjanji akan memastikan kawasan yang mempunyai 84,190 pengundia itu terus membangun dengan mengekalkan keseimbangan dan tanpa menukar keseluruhan wajah Kepala Batas yang telah melahirkan ramai ulama Islam.

"Fitrah bumi Kepala Batas ini saya mahu kekalkan, ini adalah tempat Malay-belt. Saya tidak mahu melihat kawasan ini di mana berlaku pembangunan, maka berlakunya penyusutan (penempatan orang Melayu). Ini tidak menafikan kehadiran kaum lain, saya cuma mahu kekalkan keharmonian.

"Kaum Melayu kekal, pada masa sama kaum Cina dan India rasa aman dan tenang kerana mereka punyai hubungan rapat. Pusat ibadat-ibadat mereka diberi pembelaan," kata anak didik Pak Lah itu.

Reezal Merican yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 Sabtu lepas berkata, beliau sentiasa berpegang pada prinsip 'colour blind' iaitu tidak memilih bulu, agama atau kaum dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat di negara ini, seperti yang dipesan oleh Pak Lah.

Pada PRN kali ini, Reezal Merican berdepan persaingan sengit satu lawan satu bagi kerusi DUN Bertam dengan pencabarnya Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, daripada Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas ADUN kawasan itu.

-- BERNAMA