SHAH ALAM: Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat, manakala dua lagi ahli digantung keahlian serta-merta selama tiga tahun kerana melanggar Fasal 10.2.2 Perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada Rabu lalu.

"Majlis Pimpinan Tertinggi memutuskan seorang ahli Bersatu dipecat keahliannya serta-merta, manakala dua lagi ahli digantung keahlian serta-merta selama 3 tahun.

"Tindakan itu kerana individu terlibat telah melanggar Fasal 10.2.2 Perlembagaan Bersatu disebabkan perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN),"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hamzah turut menegaskan, tindakan sama boleh diambil terhadap mana-mana ahli Bersatu yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin parti dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lain atau calon bebas.

"Keahliannya terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu," katanya.

Sehubungan itu katanya, Bersatu menzahirkan komitmen tertinggi untuk memastikan gerak kerja parti bagi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu berada ditahap paling maksimum untuk menjamin kemenangan PN.

- Sinar Harian