GEORGE TOWN: Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng kesal apabila namanya digugurkan dalam senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang akan diadakan pada Ogos nanti.

Beliau yang juga Ketua Wanita DAP Kebangsaan berkata, keputusan yang dibuat parti pada Selasa menjadi titik perubahan baginya dalam karier politik sejak 1995 yang mana beliau pernah menjadi pembangkang tunggal di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika itu.

"Saya masih sihat dan anak-anak juga sudah besar di mana saya boleh mempunyai lebih banyak masa dan tenaga untuk berkhidmat dan menyumbang," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Ibu kepada dua anak itu berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari 1999 hingga 2008, selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan kali terakhir menyandang kerusi DUN Padang Lalang.

Beliau berkata, sebagai Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, beliau sudah merangka pelan lima tahun untuk membantu lebih ramai wanita terutamanya di luar bandar.

Katanya, dengan mempertingkatkan keupayaan ekonomi, mereka boleh meningkatkan pendapatan isi rumah untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Tidak dapat meneruskan usaha ini, ini masih belum lengkap untuk saya dan penyesalan terbesar saya.

"Namun begitu, di sebalik rasa tidak puas hati, kita harus fokus untuk memenangi PRN supaya kita boleh terus maju lebih jauh demi kepentingan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, lelaki dan wanita, muda dan tua," katanya.

Beliau turut menyeru agar pengundi menyokong calon DAP, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan terus menerajui Pulau Pinang. - Sinar Harian