BUTTERWORTH: Tiga fokus utama akan menjadi tawaran calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

Isu pendidikan khususnya terhadap golongan anak muda akan diberi penekanan berikutan masih ramai yang tidak mempunyai akses untuk melanjutkan pelajaran.

Ujarnya, pemerhatian beliau mendapati ramai anak muda yang berpotensi untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi namun tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.

“Saya nampak ramai yang pandai-pandai (pelajaran) tetapi mereka mungkin tiada akses untuk buat langkah seterusnya jadi saya akan buka saluran mereka untuk memudahkan akses.

“Saya akan pastikan semua maklumat tentang tawaran pengajian pendidikan biasiswa dan bantuan pelajaran akan sampai kepada anak-anak di kampung dan seluruh DUN Sungai Dua,” katanya.

Selain itu, antara isu yang turut diangkat adalah melibatkan nasib golongan anak muda untuk memiliki rumah.

Dr Shaik berkata, usaha itu juga telah termaktub di dalam manifesto BN-PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN15) kali ini.

“Kita dah ada tawaran perumahan khas belia jadi apa yang saya ingin usahakan adalah untuk pastikan tawaran itu dibawa masuk ke Sungai Dua.

“Kalau boleh dalam bentuk sewa untuk jangka panjang kerana kita faham kemampuan belia pada peringkat awal ini mungkin sukar.

“Walaupun dalam kadar sewa yang rendah pada masa akan datang mereka mampu untuk memiliki rumah sendiri,” jelasnya lagi.

Sepanjang kempen beliau di Sungai Dua, wujud juga beberapa keluhan melibatkan isu kebajikan penduduk setempat yang perlu dibantu.

Kawasan Sungai Dua mungkin kelihatan seperti kawasan perbandaran namun hakikatnya, sebahagian besar membabitkan kawasan perkampungan yang terdiri daripada kelompok orang miskin.

“Saya berjalan di semua kawasan Sungai Dua ketika berkempen dan masih banyak keluarga yang perlu mendapat perhatian dari segi aspek kebajikan.

“Sungai Dua dari segi luaran nampak macam semi urban tetapi sebenarnya hanya ada 10 peratus sahaja dan selebihnya masih kawasan kampung yang kebanyakannya adalah orang miskin,” menurut beliau.

DUN Sungai Dua akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara beliau dan juga calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fauzi Yusoff yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri.