SHAH ALAM : Badan penyelidikan, Ilham Centre mendapati pola pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini menunjukkan penjawat awam cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar berkata, temu bual pihaknya dengan sebahagian responden mendedahkan kebanyakan mereka seolah-olah masih 'terperangkap' dalam zaman pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, faktor penyumbang ialah apabila penjawat awam dipercayai tidak menterjemahkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Penjawat awam tidak menterjemahkan sokongan kepada kerajaan kerana (berlaku episod) perubahan pentadbiran kerajaan.

"Kalau dilihat (sebelum ini) daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) bertukar kepada PN selepas insiden Langkah Sheraton. Kemudian daripada PN (berubah) kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan.

"Jadi bagi kelompok penjawat awam ini, sebenarnya mereka masih 'terperangkap' ketika pentadbiran Muhyiddin. Mereka 'terperangkap' di situ dan tidak menukar (sokongan) kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

KEPUTUSAN PENUH PILIHAN RAYA NEGERI DI SINI 



Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab "Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri ke-15" bertajuk PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi secara langsung dari Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhamad Hisommudin berkata, dalam segmen penjawat awam, golongan guru kini dilihat beralih arah dengan menyokong Pas atau PN.

"Guru dahulu adalah aset kepada UMNO-BN kerana dulu kebanyakan mereka memang secara terbuka menyokong BN. Tetapi sekarang ini dah jadi sebaliknya ... menyokong Pas atau PN.

"Dalam temu bual saya dengan guru-guru, mereka mengakui Menteri Pendidikan sekarang lebih baik (daripada menteri sebelumnya) tetapi mereka tetap menyokong PN," katanya.

Beliau berkata, situasi berkenaan juga antara bukti jelas bahawa gandingan naratif Melayu dan Islam memberikan kelebihan kepada PN.

"Kalau dulu (identiti) BN hanya Melayu, Pas hanya Islam tetapi sekarang ini (bila naratif Melayu dan Islam) digabungkan, ia memberikan satu gabungan yang luar biasa," jelasnya.

Terdahulu, dalam wacana berkenaan, Muhamad Hisommudin membentangkan dapatan kajian bertajuk Prediksi Akhir PRN, Prestasi PH Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu.

Empat panel lain wacana itu ialah Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Mohd Yusri Ibrahim yang membentangkan laporan bertajuk Pola Pengundian PRN Membentuk Polarisasi Kaum dan Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis Merawat Melayu: UMNO Perlu Bagaimana.

Pensyarah Kanan APM,  Abdul Muqit Muhammad pula memperincikan hasil kajian Memahami Pengundi Muda/Pertama Kali dan Editor Kanan Astro Awani, Nazri Kahar berjudul Media: Politik Prestasi VS Sentimen.