MERSING: Seramai 325 pegawai dan anggota polis terlibat dalam proses undi awal bagi kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyrill Edward Nuing berkata, proses undi awal bermula tepat jam 8 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

“Pemerhatian saya sejak pagi tadi, proses undi awal berjalan dengan baik tanpa sebarang halangan buat masa ini.

“Jumlah anggota yang mengundi seramai 325 orang bagi DUN Tenggaroh dan Endau termasuk anggota yang telah bersara,” katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Mersing pada Selasa.

Mengulas lanjut, persiapan undi awal telah dilakukan sejak Isnin dengan kehadiran pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ujarnya, pasukan pemantau daripada pelbagai agensi turut berada di setiap pusat undi awal bagi melakukan tinjauan sepanjang proses PRN yang berlangsung hari ini.

Untuk rekod, sejumlah 22,531 pengundi awal direkodkan di Johor yang membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Daripada jumlah itu, seramai 10,955 merupakan anggota tentera dan pasangan manakala 11,576 lagi adalah anggota polis dan juga pasangan.

Secara keseluruhan, 63 pusat mengundi telah dibuka dan daripada jumlah itu juga, 30 pusat mengundi akan beroperasi sehingga pukul 12 tengah hari.

Manakala selebihnya, akan ditutup pada pukul 2 petang dan 5 petang.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi hanya akan dikira bermula jam 4 petang Sabtu ini (12 Mac).

PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac melibatkan 2,597,742 pengundi.