JOHOR BAHRU: Calon Menteri Besar bagi Perikatan Nasional (PN) kemungkinan besar adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jika ia dipersetujui oleh parti komponen tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah mengenal pasti calon yang layak untuk mengisi jawatan tersebut, sekiranya PN diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Bagaimanapun, jelas Presiden Bersatu itu, pengumuman terperinci berhubung perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas proses penamaan calon selesai.

"lnsyaAllah jika ia dipersetujui oleh semua kepimpinan parti, besar kemungkinan.. besar kemungkinan daripada Bersatu.

"Calon Menteri Besar sudah ada. Ya, itu kita akan umumkan. Saya rasa di peringkat sekarang ini, pertama nak umum, dia belum dicalonkan lagi. Jadi selepas selesai (penamaan calon), dalam waktu masa yang sesuai (kita akan umumkan)," katanya dalam sidang media selepas memperkenalkan 56 calon PN bagi PRN Johor, di sini pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin berkata seramai 19 calon di bawah umur 40 tahun dikemukakan oleh PN dalam PRN kali ini, dengan sekurang-kurangnya 15 daripada 56 calon adalah penyandang sebelum ini.

Katanya lagi, calon paling muda adalah berusia antara 31 dan 35 tahun.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan juga dijangka mengumumkan manifesto pada awal minggu depan.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Bersatu akan bertanding di 33 kerusi DUN pada PRN Johor, Pas (15), manakala Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.