Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH Kahang mahu bangunkan ekonomi belia menerusi pertanian moden

IMAM SABRI
Mohd Sabri mahu memperkasa ekonomi belia menerusi pertanian moden, di samping memberi tumpuan kepada kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pembangunan agro-pelancongan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, Mohd Sabri Abd Kadir mahu menjadikan pembangunan ekonomi anak muda menerusi pertanian moden sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, Kahang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menerusi penggunaan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran makanan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.

"Kalau saya dilantik menjadi ADUN, kita akan usahakan untuk menambah baik ekonomi anak-anak muda, terutama dari segi peluang pekerjaan dan pertanian.

"Di Kahang ini banyak tanah kosong yang boleh dimajukan untuk pertanian moden dan pengeluaran makanan.

"Kita juga boleh memanfaatkan pelbagai bantuan serta sumber yang disediakan Kementerian Pertanian bagi membantu anak muda menceburi industri ini," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, Mohd Sabri berkata, beliau turut menggariskan lima keutamaan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, iaitu memperkukuh ekonomi rakyat, membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, menambah baik kemudahan asas, memperkasa sektor pertanian dan agro-pelancongan serta memastikan pusat khidmat ADUN sentiasa dekat dengan rakyat.

"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan saya. Insya-Allah, jika diberi amanah, saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat Kahang," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Mohd Sabri berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), V. Rugendran, dan calon Perikatan Nasional (PN), Mazlan Bujang.

Pada PRN Johor 2022, DUN Kahang dimenangi oleh BN, Datuk R. Vidyananthan dengan majoriti 6,698 undi.

DUN Kahang kini mempunyai 31,116 pengundi berdaftar.

Must Watch Video

Advertisement