Skip to main content

Politik

PRN Johor: DAP terima keputusan, akui perlu perbaiki kelemahan

KLUANG, 9 Julai -- Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berucap pada Ceramah Harapan Paloh Grand Finale sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 (PRN Johor) di Paloh, malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Teo berkata, keputusan PRN Johor memberi isyarat jelas kepada DAP untuk melakukan penambahbaikan, selain menilai semula kelemahan yang menyebabkan kekalahan di beberapa kawasan. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: DAP menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan rendah hati selepas keputusan yang diumumkan tidak memihak kepada parti itu.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, parti itu menghormati pilihan rakyat Johor dan mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan yang dicapai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab serta memberikan sokongan kepada calon-calon DAP.

"Malam ini, keputusan tidak berpihak kepada kami.

"Dengan rasa rendah hati, DAP menerima keputusan ini dan menghormati pilihan Bangsa Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Teo, keputusan itu memberi isyarat jelas kepada DAP untuk melakukan penambahbaikan, selain menilai semula kelemahan yang menyebabkan kekalahan di beberapa kawasan.

Beliau berkata, DAP akan meneliti faktor-faktor yang membawa kepada kekalahan parti itu di DUN Jementah, DUN Tangkak serta kerusi lain yang ditandingi pada PRN Johor kali ini.

Katanya, DAP juga mengambil maklum bahawa BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi yang disandang sebelum ini.

"Pada masa sama, undi yang diperoleh calon-calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 2022 di Johor Jaya dan Perling telah beralih kepada calon-calon BN dalam PRN Johor 2026.

"Justeru, walaupun terdapat peningkatan peratusan undi untuk Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi berkenaan, ia masih belum mencukupi untuk memenangkan calon PH," katanya.

Teo berkata, DAP akan mengambil iktibar daripada keputusan itu dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti bagi menghadapi cabaran politik akan datang.

Beliau menegaskan, segala usaha membina negara serta memperjuangkan hak rakyat akan diteruskan walaupun berdepan keputusan pilihan raya yang mengecewakan.

PRN Johor ke-16 menyaksikan DAP tewas 11 daripada 17 kerusi ditandingi termasuk kehikangan empat DUN yang disandang sebelum ini iaitu Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling apabila ia dirampas parti komponen BN iaitu MCA serta MIC.

Must Watch Video

Advertisement