KULAI: Gara-gara melakukan ’fist bump’ dengan penyokong sewaktu hari penamaan calon pada Sabtu lalu, calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Azrol Ab Rahani dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tindakan yang diambil oleh KKM itu disifatkan pengurus kempen kepada Pengerusi MUDA Johor itu, Amos Thien sebagai sesuatu yang ganjil.

Ini kerana, kata Amos, kesalahan itu langsung tidak disenaraikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) 1988.

Bahkan, tegas beliau, sewaktu menerima taklimat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), langsung tidak disebut bahawa ‘fist bump’ atau berlaga tangan boleh dikenakan kompaun seperti kesalahan-kesalahan lain.

Apa yang turut dikesalkan juga, ujar Amos, pasukan Azrol telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen), sentiasa memakai topeng muka semasa berkempan selain bergerak dalam kumpulan yang tidak pernah melebihi daripada lima orang.

“Jadi, apa yang saya mahu sampaikan ialah, kami sudah mengikuti kesemua SOP yang ditetapkan. Kenapa pemimpin dari parti lain boleh kumpul ramai-ramai (tetapi) tiada tindakan diambil ke atas mereka?” soal Amos.

Sementara itu, Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, pihaknya sentiasa bersedia mematuhi SOP yang dikenakan dan tidak berhasrat untuk menuding jari kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan kompaun itu, tegasnya, agak ganjil kerana parti-parti lain jelas melanggar SOP yang digariskan, namun langsung tiada yang dikenakan kompaun.

“Pelaksanaan SOP perlu adil dan saksama… betul kalau MUDA yang lakukan kesilapan, kami terima, dan ambil tanggungjawab, tetapi pada masa sama saya gesa pihak berkuasa, untuk laksanakan juga perintah yang sama kepada parti lain.

“Saya percaya kita semua mengikuti perjalanan kempen negeri Johor 2022 dan kita tahu aktiviti program pimpinan ada yang melanggar SOP, malah memang banyak dilaporkan, jadi kami harap ada pantauan adil dan saksama,” tegasnya lagi.