Skip to main content

Politik

PRN Johor: Jafni dakwa saingan sebenar di Bukit Permai antara BN dan PH

[TB]_Johor Memilih, PRN Johor, DUN Bukit Permai, Jafni Shukor, Barisan Nasional 2_FB JAFNI
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bukit Permai, Datuk Jafni Md Shukor menyifatkan pertandingan di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sebagai persaingan sebenar antara BN dan Pakatan Harapan (PH), meskipun melibatkan lebih daripada dua calon.
Advertisement

KULAI: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bukit Permai, Datuk Jafni Md Shukor menyifatkan pertandingan di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sebagai persaingan sebenar antara BN dan Pakatan Harapan (PH), meskipun melibatkan lebih daripada dua calon.

Menurut penyandang kerusi itu, perkembangan kempen setakat ini menunjukkan pengaruh parti-parti lain tidak lagi seperti yang disaksikan pada pilihan raya sebelum ini.

"Saya masih ingat empat tahun yang lepas, kehadiran penyokong-penyokong Bersatu itu lebih daripada 600 atau 700 orang. Tetapi kali ini sangat berbeza. Yang datang penyokong dia dalam sekitar 30 hingga 40 orang sahaja.

"Termasuk juga Parti Bersama , apabila kita tengok pada hari itu yang ada adalah sekitar 30 hingga 40 orang. Sebab itu di DUN Bukit Permai saingan kita sebenarnya ialah Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita..

Jafni berkata, keadaan sama turut dapat dilihat di kawasan sekitar termasuk DUN Bukit Batu dan Senai yang turut berada di bawah Parlimen Kulai.

"Di Bukit Batu juga begitu dan di Senai pun begitu juga. Itulah keadaan senarionya," katanya.

Beliau bagaimanapun berpandangan, pengundi ketika ini lebih berminat menilai rekod pentadbiran berbanding polemik politik atau retorik kempen.

Katanya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menunjukkan pelbagai pencapaian yang boleh dinilai rakyat sepanjang tempoh empat tahun lalu.

"Yang paling penting kita nak beritahu rakyat bahawa selama empat tahun ini di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, banyak perkara dan pencapaian kita buat.

"Empat tahun yang lepas hasil kerajaan negeri Johor RM1.6 bilion. Lepas itu setiap tahun naik dan tahun lepas kita catat satu angka yang luar biasa iaitu RM2.67 bilion," katanya.

Menurut beliau, peningkatan hasil negeri membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai program kebajikan dan kos sara hidup.

"Duit ini kita perlu pulangkan balik kepada rakyat. Sebab itu ada bantuan kepada ibu tunggal, warga emas dan juga pelbagai inisiatif lain yang kita laksanakan.

"Bila kita dapat hasil yang baik, akhirnya duit itu kita pulangkan semula kepada rakyat," katanya lagi.

Jafni yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata, rakyat kini menilai keberkesanan sesebuah kerajaan berdasarkan manfaat yang diterima dalam kehidupan seharian.

"Hari ini rakyat dia tak nak lihat siapa yang hebat bercakap, siapa yang pandai bercakap. Tetapi dia nak tengok apa yang rakyat dapat, apa yang rakyat rasa.

"Kos sara hidup tinggi. Macam mana kita nak atasi masalah itu, itu yang rakyat nak tengok," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memilih untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat ketika berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

"Kita tak guna cakap polisi yang hebat atau pencapaian yang hebat tetapi rakyat di bawah tak merasainya. Johor, kita buat sebaliknya," katanya lagi.

Pada PRN Johor 2022, Jafni memenangi DUN Bukit Permai dengan majoriti 4,755 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pada pilihan raya kali ini, beliau mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan empat penjuru menentang Mohamad Shafwan Ani dari PH, M. Lina Manoh yang mewakili PN serta Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof daripada Parti Bersama Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement