JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa perbuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakibatkan usaha menolak Datuk Seri Najib Tun Razak telah terbantut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, rakyat Johor merupakan antara rakyat Malaysia yang berjaya menyekat kemaraan Najib.

Malangnya, kata Dr Mahathir lagi, perbuatan Muhyiddin yang ingin menjadi Perdana Menteri, menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

“Sebenarnya, kita semua, termasuk pengundi Johor telah berjaya menyekat Datuk Najib dari terus menyamun harta rakyat apabila dia, UMNO dan Barisan Nasional ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu.  

“Kejayaan ini memperlihat ramai pengundi Johor tidak dapat menerima UMNO yang menyokong seorang penyamun. la lebih bermakna di Johor kerana terdapat kuasa-kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahan Datuk Najib dan UMNO.

“Malangnya kejayaan itu terbantut apabila presiden parti Bersatu Tan Sri Muhyiddin yang mahu menjadi Perdana Menteri, sanggup membelakangkan pengundi dan rakan di dalam Pakatan Harapan untuk mencapai cita-citanya,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, kerana (Muhyiddin) mengejar nafsu untuk jadi Perdana Menteri, beliau dan beberapa rakan yang berpegang kepada prinsip dan menolak kerjasama dengan UMNO telah disingkir.

Rentetan peristiwa itu, tambahnya lagi, beliau dan rakan-rakan menubuhkan Parti Pejuang kerana Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah tidak lagi berpegang dan mempertahan perjuangan Bersatu.

“Kami percaya Muhyiddin akan dikhianati oleh puak kleptokrat.

“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham,” katanya lagi.

Akhirnya, kata Dr Mahathir, Muhyiddin sendiri dikhianati oleh UMNO, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja.

“Kleptokrat sekarang berkuasa menukar Kerajaan sesuka hati mereka. Nasib rakyat tidak dihirau oleh mereka. Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan UMNO.

“Terpulanglah kepada parti lain menolak kleptokrat. Pejuang tolak UMNO, kerana tidak ingin kleptokrat kembali memerintah,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, jika semua pihak yang tolak kleptokrasi memberi sokongan kepada Pejuang, maka Kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat, dapat dikembalikan semula.