MERSING: Zaman digital ketika ini membolehkan rakyat, khususnya pengundi membuat penilaian yang tepat tentang semua maklumat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, justeru beliau enggan mengulas lanjut mengenai ‘perang mulut’ antara pemimpin tinggi dalam parti-parti politik, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi.

Kata Ahli Parlimen Terap itu lagi, apa jua keputusan atau hasil penilaian mereka, hanya akan diketahui pada hari pengundian 12 Mac nanti.

“Saya tak mahu sebut banyak, Cuma pilihan raya ini adalah pilihan raya negeri pada 2022, yang saya sebut tadi zaman digital. Jadi saya ingat, public di luar sana, mereka boleh membuat penilaian di atas apa-apa urusan yang berkaitan ahli politik.

“Di luar sana ada masyarakat kelas pertengahan, ada golongan teknokrat, golongan profesional, termasuk juga golongan profesional yang tinggal di kampung. Keputusan (penilaian mereka) ialah pada hari mengundi,” katanya lagi.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 'perang mulut' antara pemimpin-pemimpin kanan parti politik daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Semalam, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi dakwaan bahawa beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat, yang didakwa berpunca daripada keengganannya melayani desakan ‘kluster mahkamah’.