JOHOR BAHRU: Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim mengakui gementar bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berikutan kepercayaan besar parti untuk beliau mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai.

Ini kerana DUN Skudai merupakan kubu kuat DAP dan beliau kali pertama bertanding dalam pilihan raya.

"Gementar sebab pertama kali saya sebagai calon, jadi ada banyak proses saya tidak belajar lagi, contohnya berceramah.

"Tetapi ada banyak perkara baharu yang saya telah pelajari. Mudah-mudahan, insya-Allah saya boleh tambah baik," katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri hari ini.

Bagaimanapun, Marina tetap bersemangat dan optimis bahawa pengundi di DUN Skudai akan terus memberi kepercayaan kepada PH untuk mempertahan kerusi itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Lim Soon Hai pula berkata, beliau tidak memandang enteng calon yang bertanding sebaliknya akan terus memperkukuh jentera parti dalam memastikan BN mampu menawan kerusi itu.

Pengerusi MCA Bahagian Iskandar Puteri itu berkata, beliau akan menumpukan agendanya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

"Politik itu memang penting tetapi ia kena bersandarkan pada ekonomi, kita ada banyak impian yang susah dilaksana kalau ekonomi tidak kukuh," katanya.

DUN Skudai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Marina, Lim dan calon Perikatan Nasional (PN) Khoo Kong Ek.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi itu dimenangi Tan Hong Pin (PH-DAP) menewaskan S. Kanan (BN) dengan majoriti 35,126 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. - BERNAMA