JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hampir pasti akan membuat kemunculan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan DAP, bekas Ahli Parlimen Kluang, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu telah diarahkan oleh kepimpinan pusat untuk bertanding di peringkat negeri.

"Setakat ni, berdasarkan senarai yang kita terima, memang nama Liew Chin Tong ada untuk kerusi Perling. Itu memang keputusan pusat," kata sumber itu lagi.

Kepimpinan Liew baru-baru ini menjadi bahan bualan apabila beliau dikatakan bertelagah dengan beberapa penyandang kerusi DUN, terutama sekali penyandang DUN Skudai, Tan Hong Pin.

Empat penyandang kerusi yang lain ialah Ee Chin Li (Tangkak) Ng  Yak Howe (Bentayan), Yeo Tun Siong (Pekan Nanas), dan Cheo Yew How (Perling).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook dalam wawancara khas bersama portal Malaysiakini hari ini, dilaporkan sebagai berkata, dakwaan bahawa Liew mahu menyingkirkan Tan bersama empat penyandang DUN yang lain, adalah tidak berfakta.

BACA: PRN Johor: Selepas Najib, giliran Chin Tong menghadap TMJ 

“Liew sentiasa berterus terang dengan kepimpinan, bahawa beliau mahu membuat sedikit perubahan, terutamanya untuk meletakkan Tan di Parlimen Labis. Selain itu, beliau juga hanya mahu menggugurkan seorang penyandang, iaitu Cheo Yew How dari kerusi DUN Perling.

“Bagaimanapun laporan media, terutamanya media Cina, menyebut perubahan itu adalah kerana Tan merupakan pencabar kepada Liew, dan Liew kononnya mendapat ‘lampu hijau’ untuk menggugurkan kelima-lima mereka.

“Itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” kata bekas Menteri Pengangkutan itu.

Loke berkata, selepas beberapa siri pertemuan dengan kumpulan tersebut, beliau mengharapkan mereka menimbang dengan serius cadangan untuk menempatkan Tan di Parlimen Labis, Cheo digugurkan, manakala tiga lagi kekal bertanding.

“Tidak benar ada tuduhan mengatakan mana mana kumpulan mahu mengugut kepimpinan parti, baik dari pihak Liew mahupun pihak Tan,” katanya dalam laporan itu.

Setakat ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sudah mengumumkan calon-calon DAP untuk tujuh kerusi DUN - Tangkak, Paloh, Penggaram, Mengkibol, Stulang, Johor Jaya, dan Bekok.

Selain itu, bekas Menteri Kewangan itu dijangka akan mengumumkan dua lagi calon DAP pada hari ini, iaitu untuk kerusi DUN Senai dan Yong Peng.

Sebelum ini DAP telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi telah bersetuju untuk menyerahkan dua kerusi - Machap dan Bukit Permai - kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.