JOHOR BAHRU: Sebanyak 20 kerusi bakal ditandingi masing-masing oleh PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), sementara DAP 16 kerusi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, perbincangan berkenaan agihan kerusi itu berjaya mencapai kata sepakat pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya, calon yang akan bertanding masih dalam proses akhir dimuktamad dan disahkan.

"Yang diputuskan kelmarin, PKR 20 kerusi, Amanah 20 kerusi dan DAP 16 kerusi.

"Kemudian, parti-parti itu akan berjumpa, berbincang, kalau ada parti lain yang akan bersama dan dilihat boleh membawa faktor kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) di Johor ini.

"Peruntukan ini telah diberi dan kita akan dapat kata putus mengenai parti mana yang akan bersama, berapa kerusi akan bertanding, dalam sehari dua ini, Insha-Allah," katanya.

PRN Johor: PKR, Amanah bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi

Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas bersarapan bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Tambahnya, perbincangan lanjut akan diadakan bagi memuktamadkan agihan kerusi dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH pada PRN Johor ini. 

Foto Astro AWANI

Ia termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (WARISAN).

Jelasnya, 20 kerusi PKR dan Amanah membabitkan kawasan campuran serta kawasan majoriti kaum, manakala DAP akan bertanding di kawasan bandar serta di beberapa kawasan majoriti kaum.