Skip to main content

Politik

PRN Johor: Populariti Onn Hafiz antara faktor keputusan - Khalid Samad

Khalid Samad & Onn Hafiz Ghazi_AWANI
Khalid berkata, keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran terhadap keputusan PRU akan datang. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) berpandangan populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, khususnya dalam kalangan pengundi muda, merupakan antara faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, justeru keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran terhadap keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PRN Johor ini merupakan pertandingan yang banyak dipengaruhi oleh faktor Menteri Besar sedia ada, dan populariti beliau dalam kalangan anak muda adalah antara perkara yang perlu diambil kira.

“Keadaan ini tidak akan sama apabila kita berdepan Pilihan Raya Umum nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Informasi PH di Pulai Springs Resort, di sini, pada Sabtu.

Menurut Khalid, tumpuan pengundi pada PRU berbeza kerana ia melibatkan pemilihan kerajaan Persekutuan dan bakal Perdana Menteri.

“Apabila tiba PRU nanti, isu utamanya ialah siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Pada masa ini, kami yakin Pakatan Harapan mempunyai calon Perdana Menteri yang terbaik.

“Jadi keadaannya akan berbeza. Sebab itu kita tidak boleh menggeneralisasikan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri kepada Pilihan Raya Umum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui PH perlu menilai semula strategi politiknya susulan keputusan PRN Johor, khususnya membabitkan corak sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN).

“Saya fikir keputusan ini telah mengubah kebimbangan strategik utama kami, iaitu peralihan undi Perikatan Nasional, khususnya undi PAS, kepada Barisan Nasional.

“Sebab itu kami perlu menyemak semula pendekatan yang akan diambil bagi menangani perkara ini,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement