JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor adalah tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam kenyataan pada Khamis, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN).
Sebaliknya, beliau menjelaskan, pembubaran DUN Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail yang menjalankan tugas sebagai Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
"Mendapat titah perkenan ialah satu proses Perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” tegasnya.
Justeru, Onn Hafiz menyifatkan tindakan memutarbelitkan proses Perlembagaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana berpotensi mewujudkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
Terdahulu, Mohd Puad mengumumkan keluar UMNO serta-merta dan mendakwa parti itu di Johor tidak lagi bebas dalam membuat keputusan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau turut membangkitkan dakwaan berkaitan proses pembubaran DUN Johor, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai kaedah keputusan politik dibuat di peringkat negeri.
“Alasan utama saya keluar UMNO ialah UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan.
“Satu bukti jelas ialah YAB Dato Onn Hafiz sendiri memaklumkan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026 bahawa pihak Istana telah menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menegaskan, Mohd Puad berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, namun kenyataan sedemikian adalah serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya melibatkan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
“Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya.