KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali berkuasa, negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.

Dalam surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk kembalikan kekuatan politik kerana percaya apabila memegang kuasa politik beliau dapat lepas daripada hukuman.

"Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib.

"Perlu diingatkan ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak, adik Najib, Tan Sri Nazir sendiri telah datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah dilakukan.

"Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah dilakukan abangnya; tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah.

"Banyak lagi ditulis Nazir yang dedahkan skandal Najib ini secara terperinci," katanya pada Ahad.


Mengulas lanjut Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu turut menjelaskan, sebelum berlakunya skandal 1MDB, Najib turut mendapat sokongan beliau.

Malah tekanan turut diberikan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri ke-5) apabila lambat melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Saya percaya Najib layak, saya juga berasa terhutang budi kepada bapanya Tun Abdul Razak kerana telah membantu kerjaya politik saya.

"Malangnya Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah tetapi Najib pula mencuri harta negara dengan bantuan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan didakwa terlibat skandal 1MDB).

"Surat khabar luar negara menggelarnya 'plundering idiot' yang dalam bahasa Johor saya percaya bermaksud 'penyamun tongong'.

"Mahkamah Rayuan pula menghukum beliau sebagai 'national embarrassment' iaitu orang yang memalukan negara," ujarnya.

Dr Mahathir turut memaklumkan, beliau akan terus 'meratib' nama Najib atau sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat.

"Setelah surat pertama saya, Najib menyindir dan berkata apabila saya mulai ratib namanya bermakna saya sudah benar-benar pulih.

"Terima kasih juga kerana beliau sempat mendoakan kesihatan saya.

"Sebenarnya, saya amat malu 'meratib' nama Najib. Beliau memalukan negara, bangsa dan agama, malangnya beliau sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah beliau teraniaya termasuk oleh saya.

"Beliau berharap rakyat Malaysia akan percaya beliau tidak bersalah dan sebenarnya mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.

"Ada yang terpengaruh dan percaya serta tampil mempertahankannya malah ada yang sanggup memanggil Najib 'bos' dan mencium tangannya," katanya.