KODIANG: Kurang 24 jam selepas pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, sebahagian ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jerlun tampil membuat bantahan.

Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Jerlun, Zailani Md Zain berkata, ahli Bersatu Jerlun serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, tidak dapat menerima calon yang diumumkan bagi DUN berkenaan.

Katanya, calon terbabit, Exco Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir,  bukan anak tempatan.

Menurut Zailani, mereka mahukan Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Abdul Ramli menjadi calon di DUN Kota Siputeh.

Zailani turut mengugut untuk menutup semua bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan itu sekiranya Mohd Ashraf tetap menjadi calon PN.

Beliau berharap pucuk pimpinan terlibat khususnya Bersatu dapat membuat penilaian semula calon yang ingin diletakkan di DUN tersebut.

"Faktor utama penolakan kami adalah dia bukan calon daripada bahagian dan keduanya beliau hadir tidak melalui kami. Beliau tidak pernah sekalipun datang ke bahagian kami di Jerlun ini berjumpa ketua bahagian, ahli jawatankuasa atau sesiapasesiapa yang ada di kawasan ini.

"Cuma beliau hadir melalui orang-orang yang dia kenal sahaja... apa-apa program yang dia buat melalui dia semata-mata. Kami tidak mahu macam itu sebab kami ini bukan 'kera luku' dok tunggu atas pokok, sampai masa turun makan.

"Kami menolak sekeras-kerasnya dia sebagai calon. Kami yakin dan percaya kalaulah penolakan kami ini tidak diberi perhatian, maka DUN Kota Siputeh ini susah untuk PN menang... sebab rata-rata peti-peti undi dan penyokong tidak menyokong, tidak merestui calon ni," dakwanya.

Zailani berkata demikian ketika ditemui pemberita di PDM Kandis, pada Khamis.

Mereka turut bertindak menurunkan bendera PN yang telah digantung di PDM itu sejak beberapa hari lalu.

Pandangan sama disuarakan Setiausaha Bersatu Bahagian Jerlun, Noorhazriza Noh, yang berharap Abdul diangkat menjadi calon PN DUN itu disebabkan jasanya kepada parti termasuk penubuhan bahagian itu.

Menurutnya, Bersatu akan kehilangan kepercayaan dan sokongan akar umbi sekiranya Mohd Ashraf Mustaqim masih dikekalkan sebagai calon DUN Kota Siputeh.

"Saya harap Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mempertimbangkan kembali (calon). Hargailah perjuangan dan kerja keras dia dan ahli akar umbi untuk menaikkan kembali Bersatu.

"Apabila berlaku begini ahli-ahli di bawah tidak akan percaya lagi pada parti Bersatu, kepada kepimpinan... ahli di bawah berkerja keras untuk menaikkan parti tetapi apabila pemimpin membuat benda-benda seperti ini, ia boleh menyebabkan ahli hilang kepercayaan," katanya.