ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi Kedah dilihat bakal menjadi medan untuk meraih kekuatan pengundi Melayu menjelang 12 Ogos nanti.

Barisan calon-calon yang dikemukakan setiap parti yang bertanding mempunyai kehebatan tersendiri berdasarkan faktor personaliti serta kekuatan yang sedang didokong parti tertentu.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, situasi di Kedah jauh berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri pantai timur meskipun Perikatan Nasional (PN) Kedah ketika ini sedang membawa aura gelombang hijau.

“Kedah dianggap unik kerana adanya personaliti-personaliti yang kuat. Sudah pasti pertembungan yang besar bakal berlaku.

“Sekiranya percaturan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu untuk tenggelamkan figura utama, barang kali ini jadi senjata utama yang digunakan mereka untuk lumpuhkan strategi PN atau Pas bagi berdepan musuh utama.

“Medan PRN15 di Kedah bakal jadi penentu sejauh mana PN mampu mengekalkan kekuatan mereka kerana PH-BN juga menampilkan antara personaliti yang kuat di negeri berkenaan.

"Contohnya, bekas Menteri Besar (Datuk Seri Mahdzir Khalid) dan beberapa ‘rival’ lain untuk berdepan seteru mereka,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tidak dinafikan, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor antara figura yang agak ke hadapan, berdasarkan jenama dan teknik pemasaran politik yang begitu ketara, berbanding pihak lawan.

Gelombang hijau ternyata bakal menjadi kelebihan utama kepada PN bagi mengekalkan kemenangan mereka namun itu bukanlah pengukur sebenar untuk mereka terus dalam keadaan selesa.

PH-BN bagaimanapun terus membuat percaturan politik dalam usaha merampas semula pentadbiran di Kedah dengan turut menampilkan nama-nama besar.

Menurut Sivamurugan, persoalan utama yang perlu diberi tumpuan adalah sejauh mana PN mampu untuk bertahan dan mengekalkan pemerintahannya di negeri jelapang padi itu.

Walaupun momentum di Kedah lebih tertumpu kepada PN, namun situasi politik yang sukar diramal memerlukan gabungan itu tidak boleh terlalu selesa, kerana sebarang kemungkinan tidak mustahil berlaku.

Ujarnya, Kedah sendiri telah menyaksikan beberapa fasa pertukaran tampuk pemerintahan yang sering kali datang dan pergi.

“Kedah ini uniknya dia boleh bertukar (kerajaan) kerana kalau kita lihat track record sebelum ini, pada 2008, ia milik Pas, tahun 2013 kembali dirampas UMNO, 2018 milik PH dan seterusnya pada 2020 jadi milik PN,” katanya.

Melihat kepada kontroversi yang dilanda Muhammad Sanusi, Sivamurugan berkata, ia mungkin dijadikan senjata oleh parti lawan dalam cubaan untuk menjatuhkan nama besar itu.

Bagaimanapun, sentimen berkenaan pada masa sama turut membawa kepada kekuatan terhadap PN untuk terus bangkit mempertahankan jajahan takluk mereka di Kedah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dengan majoriti 2,455 undi.

Secara keseluruhan, Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.