Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Amirudin nanti kesediaan Ab Rauf teruskan rundingan kerjasama

Amirudin Shari
Amirudin berkata beliau telah berhubung dengan Ab Rauf, namun Ketua Menteri Melaka itu memaklumkan mahu menunggu keputusan dasar daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan BN pusat terlebih dahulu, sebelum memulakan perbincangan lanjut. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari, sedang menantikan kesediaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi memulakan rundingan rasmi mengenai hala tuju kerjasama politik, di negeri itu.

Amirudin berkata beliau telah berhubung dengan Ab Rauf, namun Ketua Menteri Melaka itu memaklumkan mahu menunggu keputusan dasar daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan BN pusat terlebih dahulu, sebelum memulakan perbincangan lanjut.

“Saya sebenarnya dah berhubung, dia (Ab Rauf) cakap sedang tunggu beberapa keputusan dasar peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat, untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita Bersama Komuniti Ampang Jaya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai prinsip perundingan, Amirudin menekankan sebarang kerjasama politik perlu berpaksikan keikhlasan, tanpa meletakkan prasyarat awal yang boleh mengekang proses perbincangan.

Beliau memberikan contoh semangat kerjasama PH di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, yang bersedia menyerahkan kerusi dimenangi mereka kepada BN demi menjayakan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kita ikhlas berbincang ketika pilihan raya negeri dan harap ada keikhlasanlah ketika kita berbincang di tempat lain. Jangan sebelum berbincang telah meletakkan syarat.

“Di Selangor kita bagi kawasan yang kita menang kepada BN, jadi keikhlasan itu kena tengok cermin diri sendiri juga dan kita terbuka untuk berbincang,” katanya.

Pada 25 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata Amirudin diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN, termasuk agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang. 

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRN Melaka ke-15, BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti PH dengan lima kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi.

Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan tamat pada 31 Dis ini, seterusnya memberi laluan kepada PRN.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement