KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin Pas akan terus dibuli oleh UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang seperti mana yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, beliau melihat apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Tegasnya, UMNO masih berlagak seperti 'abang long, seolah-olah mereka masih mempunyai kekuatan politik seperti dahulu, sedangkan realitinya, jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi Pas pada PRU15 adalah lebih besar berbanding UMNO.
"Jadi persoalannya, sampai bila Pas mahu terus memberikan laluan kepada UMNO dalam rundingan kerusi?
"Di Johor, Pas sendiri mengakui bahawa mereka memberi laluan kepada UMNO dan komponen BN di kerusi yang tidak ditandingi Pas. Presiden Pas sendiri pernah menggambarkan keadaan itu seperti Pas menjadi 'penjaga gol' yang membantu UMNO menjaringkan gol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah menggesa Pas mengadakan PRN di negeri yang ditadbirnya untuk membuktikan keikhlasan parti itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan sebelum ini turut berkata, lagak 'abang long atau 'warlord adalah imej yang sudah sinonim dengan UMNO.
Tegasnya, dalam politik, peluang menjadi dominan sering kali menjadi matlamat utama setiap parti politik yang merasakan mereka masih relevan sebagai aktor yang mampu menawan sebahagian besar kehendak majoriti.
Menurut Dzul Hilmi, situasi itu akan dilihat pula di Melaka, dengan persoalan adakah formula yang sama akan berulang di mana Pas dan PN memberikan ruang yang besar kepada UMNO, sedangkan Pas sendiri mempunyai kekuatan tersendiri.
Malah, ujarnya, Pas sudah menyatakan mereka mempunyai beberapa kerusi yang menjadi sasaran.
"Jadi saya fikir rakyat berhak melihat sama ada rundingan ini benar-benar berdasarkan peluang kemenangan ataupun sekadar memberikan kelebihan kepada UMNO.
"Selepas Melaka, saya tidak sabar untuk melihat bagaimana pula rundingan berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kalau UMNO benar-benar yakin mereka begitu kuat, adakah mereka pula bersedia memberikan ruang kepada Pas di negeri-negeri yang Pas kuasai?" soalnya.
Bagi Pakatan Harapan (PH), katanya, pihaknya tidak akan melayan nafsu besar UMNO yang mahu menganggap semua kerusi sebagai hak mereka.
Jelasnya, rakyat sedang menilai politik yang terlalu mementingkan pembahagian kuasa dan kerusi.
"Apa yang lebih penting ialah siapa yang benar-benar mempunyai rekod, kemampuan dan mandat untuk membawa perubahan kepada rakyat.
"Seandainya UMNO mahu bercakap soal kekuatan, saya cadangkan mereka melihat dahulu realiti keputusan pilihan raya dan kekuatan sebenar setiap parti, bukan sekadar berlagak sebagai 'abang long'," katanya.