MELAKA: Ungkapan 'mencari isu sebelum menjadi isu, mencari masalah sebelum menjadi masalah', kedengarannya pelik, namun itulah prinsip kerja penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad, antara empat penyandang yang dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berkata pendekatan tersebut banyak membantunya berkhidmat untuk penduduk kawasannya ketika diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu.

"Saya suka meninjau kawasan DUN saya menaiki motosikal di waktu malam hari untuk meninjau permasalahan atau isu di kawasan saya, kadang-kadang saya bersendirian, orang tak tahu pun, mana-mana yang saya rasakan ada isu yang bakal mendatangkan masalah atau isu saya akan ambil langkah menyelesaikannya tanpa menanti aduan," katanya dalam rancangan Bicara Melaka yang disiarkan dalam UMNO Online malam ini.

Rahmad yang mempunyai lapan cahaya mata juga menjalankan program ambulans percuma untuk penduduk yang sakit terlantar dan memerlukan rawatan di hospital dengan mengambil mereka di rumah sehinggalah menghantar semula pesakit itu pulang ke rumah.

Dilantik sebagai Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Rahmad yang mahu mengusahakan kawasan tanah terbiar menjadi kawasan pertanian untuk menghasilkan sumber makanan kepada penduduk memerlukan juga merupakan antara manifestonya di DUN itu jika terus diberikan mandat di kawasan berkenaan.

"Selain itu, banjir kilat juga menjadi antara masalah penduduk yang mahu saya selesaikan dan saya menyasarkan masalah ini boleh diselesaikan menjelang 2023.

"Saya mungkin tak janjikan bulan dan bintang, tapi saya janjikan perkhidmatan, moto saya ialah 'beri saya kerja, saya kerjakan," katanya.

Pada PRN kali ini, Rahmad berdepan saingan empat penjuru menentang Ahmad Muaz Idris (Bebas), Mohd Fadly Samin (PN) dan Mohd Rafee Ibrahim (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rahmad daripada UMNO menang di kawasan tersebut dengan majoriti 1,805 undi.

-- BERNAMA