AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan enakmen antilompat parti dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama sejurus pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu malam.

Jelasnya, cadangan terbabit bagi memastikan kestabilan politik negeri itu.

"Malam ini saya mengumumkan BN akan mengambil beberapa ketetapan menjurus agenda transformasi dan pengukuhan kestabilan politik negeri Melaka.

"BN akan mencadangkan sesi pertama Sidang DUN Melaka memperkenalkan enakmen antilompat parti dan meminda peruntukan undang-undang untuk menangani isu lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka," jelas Ahmad Zahid.

Turut diumumkan, cadangan mengusulkan kerjasama antara ADUN dalam memastikan jangka hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

"BN juga akan memperkenalkan satu tatakelola Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai panduan penggubalan undang-undang kerajaan negeri.

"BN juga akan memperkenalkan amalan undi percaya konstruktif (bagi) memastikan sebuah kerajaan tidak dijatuhkan," jelasnya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, BN turut akan memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan DUN Melaka.

"(Selain itu) Memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan DUN Melaka membolehkan semua ahli Yang Berhormat memainkan peranan efektif dalam penggubalan undang-undang.

"(BN juga akan) mengusulkan peruntukan kebajikan kepada semua Yang Berhormat secara adil yang diputuskan sebuah jawatankuasa yang akan dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Ketua Menteri," katanya.

Menerusi semua cadangan dan ketetapan tersebut, tambah Ahmad Zahid, ia bakal menghasilkan kestabilan yang didambakan rakyat Melaka.

Jelasnya, kejayaan BN dalam PRN Melaka merupakan langkah pertama parti itu dalam menstabilkan politik negara.