KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) sedia mempertaruhkan barisan calon muka baharu termasuk daripada MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan perasmian Pelancaran Jentera BN PRN Melaka, malam ini, berkata ia bagi memenuhi keperluan rakyat negeri itu selain tuntutan 'pengubah keadaan' politik semasa.

“Pada kali ini kita pilih calon-calon muka baharu terbaik. Ini tidak bererti yang lama tidak baik, mereka baik-baik. Saya yakin yang lama akan beri peluang kepada anak-anak muda untuk diketengahkan.

"Tentu juga saya yakin MCA akan lakukan yang sama... MIC juga tidak ketinggalan. Kita akan lakukan pendekatan baharu, satu 'game changer' akan kita lakukan,” katanya pada majlis yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan kerusi kepada calon MCA dan MIC pada PRN berkenaan.

“Malam tadi kita adakan mesyuarat presiden-presiden parti. Oleh kerana tinggal empat parti sahaja dalam BN, sebagai Pengerusi BN saya menghargai komitmen mereka.

"Selain daripada UMNO ada tempat untuk calon MCA, ada tempat juga untuk calon MIC. PBRS pula akan pastikan bahawa orang Sabah yang tinggal di Melaka akan terus mengundi BN," katanya.

Sementara itu, Zahid berkata BN yakin bahawa hampir 500,000 pengundi Melaka kini menyesali apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan akan kembali menyokong BN dalam PRN kali ini.

Menurutnya ia berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dan segala kekecewaan itu akan ditebus semula bermula pada PRN kali ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO, ketika berucap, sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak akan bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRN Melaka.

“Saya berazam ular yang sama tidak akan patuk buat kali kedua di Melaka. Kita jangan dimanipulasi untuk ditunggang semula. Maka ketetapan itu harus kita kena hormati. Kita tidak akan berkerjasama dengan PPBM (Bersatu) di Melaka. Ini bukan suara Presiden UMNO , ini suara akar umbi," katanya lagi.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November dan pengundian pula akan berlangsung pada 20 November 2021.

PRN Melaka dianggap penting bagi BN kerana ia disifatkan sebagai cerminan sebenar masa depan parti itu dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.