MASJID TANAH: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) bagi mengelakkan tindakan ‘lompat parti’ selepas memenangi kerusi atas tiket parti itu.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beberapa surat perjanjian lain juga akan dibuat sebagai langkah parti bagi memastikan kestabilan politik negara.

“Kita telah pun membuat persiapan pasukan peguam untuk meneliti bagi mengelakkan tidak ada lagi mereka yang menang atas tiket BN melompat kerana kestabilan politik selepas pilihan raya itu penting.

“Sementara di Parlimen belum ada akta atau enakmen (anti lompat parti) lagi, maka kita terpaksa membuat akujanji atau perjanjian dan ada dua tiga lagi dokumen yang akan ditandatangani bakal calon sebelum diberi tauliah,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan UMNO Negeri Sembilan sebagai negeri angkat kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka iaitu Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning di Villa D'Aqua di Kampung Pulau di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, dokumen-dokumen perjanjian itu sudah dimuktamadkan sebagai amaran tegas kepada bakal calon untuk tidak belot kepada parti.

“(Perjanjian) sudah pun dimuktamadkan dan SD antaranya, kita sasar ada perjanjian lain termasuk ‘Agreement Services Surrended’ dan macam-macam.

“Supaya ini sebagai peringatan mereka jangan sudah menang nanti senang-senang nak melompat (parti),” tegas Mohamad lagi.

Selain itu, beliau turut yakin semua penyandang kerusi DUN berlapang dada meskipun digugurkan sebagai langkah dalam proses meremajakan parti dalam memberi laluan kepada muka baharu.