MASJID TANAH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan bahawa parti itu akan menampilkan lebih banyak muka baharu dan tokoh muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Bagaimanapun jelasnya, nama-nama calon akan diumumkan UMNO pada Sabtu depan.

"Kita akan mengadakan pelancaran manifesto itu selepas penamaan calon sudah pasti manifesto ini dilihat satu tawaran baharu kepada rakyat Melaka.

"Soal calon kita tunggu hari penamaan calon, saya berani mengatakan kali ini banyak muka muka baharu dan tokoh tokoh muda yang akan kita ketengahkan," jelasnya.

Manifesto yang akan diumumkan dalam PRN Melaka jelas Ab Rauf merangkumi kerajaan stabil, kemakmuran dan kredibiliti.

Mengulas mengenai bertanding solo, ujarnya parti itu telah bersedia untuk menghadapi sebarang suasana menjelang pilihan raya itu.

"Apa juga suasana diputuskan pucuk pimpinan kami di perhubungan negeri dan bahagian dan cawangan sentiasa bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

"Bertanding solo? Kita akan teruskan mengukuhkan kekuatan kita memastikan pertandingan secara bersendirian ini juga akan membuahkan hasil," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di kediamannya di Masjid Tanah pada Khamis.