AYER KEROH: Biarpun tegas tidak bersetuju dengan pemilihan dua bekas ahli UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon Pakatan Harapan, DAP tetap komited mahu memenangkan pakatan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, wujud sentimen negatif sebaik dua nama itu sah menjadi calon PH, namun tegasnya lagi, fokus partinya adalah memastikan PH kembali jadi kerajaan negeri.

Selain itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, sebaik PH berjaya mendapat mandat semula, bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari layak menjawat jawatan itu semula.

“Pendirian kita jelas, walaupun kita tidak setuju dengan pencalonan dua calon tersebut, tetapi kita tetap mahu menangkan PH. Fokus DAP ialah untuk memastikan lapan kerusi yang kita pertandingkan, boleh capai kemenangan dan sumbang kepada PH.

“Dan sekiranya PH berjaya membentuk negeri, pendirian DAP tetap meyokong Adly Zahari sebagai sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam sidang media DAP sempena PRN Melaka, hari ini.

Terdahulu, keputusan PH mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, serta Datuk Nor Azman Hassan untuk DUN Asahan dan Kundur, menimbulkan kemarahan kerana tidak mematuhi prinsip anti calon lompat parti.

Namun, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Idris dan Nor Azman bukan pengkhianat, sebaliknya tindakan mereka adalah demi memastikan mandat kembali kepada PH.

Untuk rekod, Idris dan Nor Azman, yang sebelum ini di bawah UMNO-BN, merupakan antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengakibatkan kejatuhan kerajaan pimpinannya.

Anwar berkata, Majlis Presiden PH telahpun menetapkan Idris bertanding di bawah PH sebagai ahli PKR, manakala Nor Azman di bawah tiket Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam pada itu, Loke berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memutuskan keahlian Datuk Ng Choon Koon dilucutkan serta-merta, kerana bertanding di DUN Bemban di bawah tiket Bebas.

“Mana-mana ahli baru masuk DAP, perlu menjadi ahli lebih dari dua tahun sebelum dicalonkan sebagai wakil rakyat DAP, kecuali ada kelulusan khas dari CEC.

“Tetapi dalam kes ini, tak sampai dua tahun, tak sampai enam bulan pun (nak jadi calon). Dan kita letakkan calon yang jauh lebih berpengalaman, kaliber dalam parti, our own state chairman Datuk Tey Kok Kiew,” katanya lagi.

Ng sebelum ini merupakan merupakan ADUN Bemban di bawah MCA-BN, antara 2013 hingga 2018, sebelum tewas di tangan Dr Wong Fort Pin dengan majoriti 1,345 undi.