KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kekal dengan keputusan menolak kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya hanya berjaya meyakinkan sekutu dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat ADUN tersebut sebagai calon PH dalam PRN Melaka, manakala dua lagi masih dipertimbangkan seperti yang dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"DAP terus konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti kami bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan 'kleptokrat, oportunis dan penyangak' untuk mengekalkan dan tidak kehilangan ketinggian nilai moral.

"Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun, matlamat itu tidak membenarkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng turut mendedahkan bahawa DAP telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah selain terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa keputusan majoriti yang dibuat sebelum ini adalah betul.

"DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata," ujarnya.

Tegasnya, PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN tersebut.