MELAKA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) meletakkan enam calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan keprihatinan pucuk pimpinan gabungan itu dalam mengangkat calon wanita untuk berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau yakin calon yang dipilih berwibawa dan mampu memberi kemenangan kepada PN.

Justeru Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu Malaysia menyeru semua pengundi pada PRN Melaka supaya memberi sokongan dan menterjemahnya melalui undi kepada calon-calon PN.

"Jalankan tanggungjawab anda sebagai pengundi demi kelangsungan keamanan, perpaduan dan kemakmuran buat negeri Melaka," katanya dalam kenyataan semalam.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan PN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu akan bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan kerusi dan Gerakan diberikan lima kerusi.

Dalam pengumuman tersebut, tiga calon wanita daripada Bersatu adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanjung Bidara), Azalina Abdul Rahman (Rim) dan Dr Nordina Abdul Latif (Ayer Limau).

Sementara Gerakan mempertaruhkan dua calon iaitu Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir) dan Fong Khai Ling (Kota Laksamana) manakala Aziah Mohd Saad mewakili PAS di Kuala Linggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

-- BERNAMA