MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan parti-parti politik dan calon yang bertanding pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menggunakan kaedah menaiki lori atau van untuk berkempen dengan mendekati pengundi, dengan syarat mendapat permit polis terlebih dahulu.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN berkenaan.

"Selain dari kita benarkan berkempen dengan edarkan pamplet secara tidak bersemuka, kita juga benarkan pergerakan calon dengan van atau lori.

"Macam zaman dulu, Jabatan Penerangan ada buat, kalau di taman-taman perumahan tu kita lihat ada van (jual) tilam...tilam lama...tilam lama, bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan, itu juga kita benarkan," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berkata penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka bagi langkah pencegahan COVID-19.

Memperinci lanjut mekanisme tersebut, Abdul Ghani berkata ia terpulang kepada kreativiti calon sama ada calon mahu berada di dalam kenderaan itu, atau rakaman suara sahaja yang disiarkan melalui pembesar suara.

Bagi kempen di media elektronik arus perdana seperti televisyen dan radio, beliau berkata ia terpulang kepada perbincangan parti dengan pihak berkenaan, dan kaedah itu dibenarkan selain daripada menggunakan saluran media sosial.

Abdul Ghani berkata SPR telah menubuhkan 28 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen, selain penguatkuasaan oleh polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).

BACA: Kempen secara fizikal, ceramah, syarahan tidak dibenarkan - SPR

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula

[TERKINI] PRN Melaka | Sidang media SPR


Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam bermula hari ini sehingga 20 Nov, dengan menyediakan nombor talian khas 06-289 6000 atau 06-289 6011 yang boleh dihubungi untuk sebarang aduan.

Sementara itu Abdul Ghani juga menyeru pengundi keluar mengundi pada 20 Nov dan tidak perlu bimbang dengan situasi di pusat mengundi, selain SPR masih menyasarkan 70 peratus pengundi Melaka akan keluar mengundi kali ini.

"Dengan SOP yang telah kita buat iaitu mengasingkan pengundi yang bergejala di khemah khas yang kita sediakan, pengundi tidak perlu risau, bagi mereka yang memang positif COVID-19 kita takkan benarkan mengundi, kita dah buat sebelum ini, pada PRN Sabah pun tiada kes jangkitan di tempat mengundi," katanya.

Mengulas mengenai calon yang bertanding kali ini iaitu 112 orang, Abdul Ghani berkata ia merupakan peningkatan daripada 85 calon berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 bagi negeri Melaka sebelum ini.

"Maknanya pertandingan makin hari makin sengit ada sehingga enam penjuru, hebat keadaan hari ini, pada SPR tiada masalah," katanya.

-- BERNAMA