MELAKA: Keputusan pimpinan Pas untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Piihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tawaran baharu kepada landskap politik negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan yang dibuat Pas itu sekali gus membuka ruang kepada blok gabungan itu untuk memberi perkhidmatan optimum kepada rakyat.

“(Keputusan) Pas itu bukti jelas bahawa keyakinan Pas kepada wadah PN yang merupakan satu tawaran baharu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbilang kaum dan budaya di Melaka dan juga negara kita.

“Ini satu kekuatan kepada PN dan sebenarnya kita telah lama bekerjasama dan sentiasa bermesyuarat untuk memastikan jentera PN di Melaka dapat digembleng secara maksimum bagi memastikan prestasi parti pada PRN kali ini dapat mencapai tahap yang membanggakan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali Melaka Prihatin di Taman Bachang Baru di sini, pada Selasa.

Mengulas kesediaan pertembungan tiga penjuru serta agihan kerusi dalam parti komponen PN pula, Mohd Rafiq berkata, perkara itu sedang dalam proses rundingan dan akan diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita belum ada keputusan siapa calon dan sebagainya… itu belum dimuktamadkan dan kita tunggu pengumuman calon nanti dalam masa terdekat oleh Pengerusi yang akan turun ke Melaka untuk umum calon PN.

“Kita akan selesaikan beberapa hari sebelum penamaan calon, pastinya sebelum pengumuman itu, rundingan kerusi antara komponen PN telah pun selesai,” tambah beliau lagi.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Ketetapan itu, kata Abdul Hadi, mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.