KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru jentera Pakatan Harapan (PH), khususnya Amanah, memulakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari ini menandakan bermulanya persiapan menuju pilihan raya berkenaan.
“Saya menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan, khususnya daripada Amanah di semua peringkat untuk mula turun ke lapangan dan menggerakkan segala persiapan yang diperlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamad turut mengingatkan jentera supaya membawa pendekatan rahmatan lil ‘alamin dalam gerak kerja mereka, tanpa menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai bahan mencetuskan kebencian.
Beliau mahu setiap anggota bergerak sebagai satu pasukan dengan disiplin, amanah dan semangat kebersamaan, sambil menegaskan setiap sumbangan amat diperlukan.
"Semoga segala usaha dan kerja keras kita membuahkan kejayaan buat Pakatan Harapan dalam PRN Melaka nanti," katanya lagi.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.