Skip to main content

Politik

PRN Melaka: "Perbelanjaan tahunan kerajaan negeri tiga kali ganda lebih tinggi daripada perbelanjaan kutipan hasil" - Rafizi

Rafizi berucap pada majlis pelancaran manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Ruang Bersama Melaka, Taman Mutiara, Batu Berendam hari ini. - Foto Bernama
Rafizi berucap pada majlis pelancaran manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Ruang Bersama Melaka, Taman Mutiara, Batu Berendam hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Bersama mendakwa kewangan kerajaan Melaka semakin mengecil akibat perbelanjaan negeri meningkat tiga kali ganda berbanding pertumbuhan hasil antara 2021 hingga 2024.
  • Pada 2023, kedudukan kewangan negeri berubah daripada lebihan kepada defisit RM59 juta, diikuti defisit RM29 juta pada 2024.
  • Bersama menegaskan kerajaan negeri perlu meningkatkan kutipan hasil dan menilai semula perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kewangan lebih mampan.
Advertisement

MELAKA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mendakwa kedudukan kewangan kerajaan Melaka semakin mengecil susulan peningkatan perbelanjaan negeri sekitar tiga kali ganda berbanding pertumbuhan hasil bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berkata perbelanjaan kerajaan negeri meningkat pada kadar purata 6.72 peratus setahun dalam tempoh itu, berbanding pertumbuhan hasil kutipan yang hanya 2.28 peratus setahun.

Beliau menjelaskan perbezaan kadar peningkatan itu menyebabkan ruang fiskal kerajaan negeri semakin terhad, malah kedudukan kewangan yang sebelum ini mencatat lebihan bertukar kepada defisit sejak 2023.

Advertisement

"Pada 2021, kerajaan Melaka mencatat lebihan RM31 juta, sebelum mengecil kepada RM6 juta pada 2022. Bagaimanapun, pada 2023 kedudukan kewangan negeri mula mencatat defisit RM59 juta, diikuti RM29 juta pada 2024.

"Ini bermakna di bawah pentadbiran Datuk Seri Rauf dan juga Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang, peningkatan perbelanjaan tahunan adalah secara purata tiga kali ganda lebih tinggi daripada perbelanjaan kutipan hasil," katanya ketika melancarkan manifesto Bersama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di sini hari ini.

Advertisement

Perkara berkenaan antara isu utama yang diketengahkan dalam Manifesto Bersama setebal 23 muka surat, yang turut menilai prestasi kewangan dan pengurusan kerajaan negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana sekiranya trend berkenaan berterusan, hasil kerajaan negeri pada masa hadapan berisiko tidak mampu menampung peningkatan perbelanjaan.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri perlu mengambil langkah bagi meningkatkan kutipan hasil pada kadar lebih tinggi, selain menilai semula perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kewangan lebih mampan.

"Jika keadaan ini berterusan, sesuatu perlu dilakukan sama ada meningkatkan pertumbuhan ekonomi supaya hasil negeri bertambah lebih cepat atau mengawal perbelanjaan kerajaan," kata Rafizi.

Pada PRN Melaka ke-16, Bersama meletakkan 16 calon daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.
 

Must Watch Video

Advertisement