Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PH ambil iktibar, adakan 'post-mortem' minggu ini - Fahmi

Fahmi (foto) berkata PH mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya berkenaan dan akan meneliti beberapa perkara yang memerlukan perubahan, rombakan serta penambahbaikan. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Fahmi (foto) berkata PH mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya berkenaan dan akan meneliti beberapa perkara yang memerlukan perubahan, rombakan serta penambahbaikan. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Ringkasan AI

  • Majlis Setiausaha Pakatan Harapan akan bermesyuarat minggu ini untuk menilai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
  • PH akan meneliti kesiapsiagaan jentera pilihan raya, khususnya di kawasan luar bandar, serta pola pengundian anak muda dan kadar keluar mengundi.
  • Fahmi Fadzil menyifatkan kejayaan DAP mempertahankan semua kerusi sebagai perkembangan positif untuk PH dalam PRN Melaka.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dijadualkan bermesyuarat minggu ini bagi menjalankan penilaian awal susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata PH mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya berkenaan dan akan meneliti beberapa perkara yang memerlukan perubahan, rombakan serta penambahbaikan.

Menurut beliau, antara aspek yang dikenal pasti ialah tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya, khususnya di kawasan luar bandar, selain persediaan calon untuk menghadapi kempen.

Advertisement

Beliau berkata jentera PKR di kawasan bandar lazimnya lebih kukuh dan bersedia, namun terdapat pandangan awal mengenai tahap kesiapsiagaan jentera di beberapa kerusi lain yang perlu diberikan perhatian.

"Ini satu pengalaman. Kita mengambil iktibar dan bermuhasabah atas apa yang berlaku.

Advertisement

"Pihak parti akan melakukan 'post-mortem' untuk mengenal pasti aspek yang perlu dirombak.

"Ada juga pandangan awal mengenai tahap kesediaan jentera di lapangan, terutama di kawasan luar bandar.

"Jadi ada beberapa perkara yang akan diteliti. Insya-Allah minggu ini Majlis Setiausaha Pakatan Harapan akan bermesyuarat untuk mengadakan 'post-mortem' awal," katanya selepas menghadiri sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas, di sini, pada Ahad.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, PH turut meneliti pola pengundian dalam kalangan anak muda serta kadar keluar mengundi yang lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

Menurut beliau, meskipun kadar keluar mengundi pada PRN Melaka kali ini lebih tinggi berbanding PRN Melaka 2021 yang diadakan ketika pandemik COVID-19, kadar berkenaan masih hampir sembilan peratus lebih rendah berbanding PRU 2022.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menyifatkan kejayaan DAP mempertahankan semua kerusi yang disandang sebagai perkembangan positif buat PH.

Katanya, DAP tidak kehilangan sebarang kerusi yang dipertahankan, sesuatu yang menurut beliau tidak berlaku sejak Pilihan Raya Negeri Sabah.

Mengulas persediaan menghadapi pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Fahmi berkata situasi politik di negeri itu berbeza, namun PH tetap akan mengambil pengajaran daripada keputusan di Melaka.

Must Watch Video

Advertisement