IPOH: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata PRN itu akan menjadi pilihan raya pertama buat Putra selepas parti itu diluluskan pendaftarannya pada Mei 2019.

Menurutnya keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tertinggi parti yang diadakan baru-baru ini.

Jelasnya Putra akan meletakkan calon di lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan pihaknya yakin calon yang bakal diumumkan nanti mempunyai peluang cerah untuk menang.

"Putra telahpun mengadakan mesyuarat dan mengambil satu keputusan bahawa buat pertama kalinya kita akan menyertai pilihan raya iaitu PRN Melaka.

"Kita sedang mengenal pasti kawasan-kawasan untuk ditandingi. Setakat ini kita sudah mengenal pasti antara lima hingga enam DUN untuk diletakkan calon.

"Kita rasa dalam kemelut politik yang ada hari ini, memang Putra mempunyai peluang yang cerah untuk menang beberapa kerusi di Melaka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?

Mengulas lanjut, Hamidah berkata pihaknya telah mengenal pasti individu tempatan yang sesuai untuk dinamakan sebagai calon Putra.

Tanpa mendedahkan nama, Hamidah berkata mereka terdiri daripada golongan profesional dan usahawan selain 80 peratus adalah dalam kalangan anak muda.