MASJID TANAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri Lendu mengingatkan rakyat Melaka agar memilih kerajaan yang mampu mengurus tadbir negeri itu.

Jelasnya, meskipun berbaki hanya beberapa jam sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tamat, beliau yakin rakyat di negeri itu tidak akan melakukan kesilapan sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

"Sambutan rakyat kepada BN membanggakan. Di saat terakhir, saya merayu sekali lagi kepada pengundi di luar dan di negeri ini.

"Esok hari pengundian, kali ini kita pilih kerajaan, biarlah kali ini kita jangan buat kesilapan lagi.

"Kita cari kerajaan mempunyai pengalaman, BN ada pengalaman cukup baik lebih 60 tahun, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di Masjid Tanah pada Jumaat.

Tegas Sulaiman, rakyat Melaka turut diingatkan agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya merayu dan memohon semua pengundi keluar mengundi esok seawal mungkin bawa dokumen pengenalan dan patuhi SOP ditetapkan.

"Jangan buat kesilapan, kita pilih kerajaan stabil dan kukuh, tiada pilihan raya selepas ini cuma pada tahun 2026 nanti," jelasnya lagi.

Seramai 476,037 orang pengundi bakal mengundi di PRU DUN Melaka ke-15 esok melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 217 Pusat Mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka dalam Hari Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang Sabtu.