PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak kemungkinan akan bertemu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Naib Presiden PKR itu yang kini melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden parti berkenaan berkata perbincangan itu berkemungkinan berlaku selepas Ab Rauf pulang ke tanah air daripada lawatan kerja di New Zealand.
“Kalau ke Melaka saya mesti singgah rumah dia, makan asam pedas Mak Leha dengan dia. Jadi kami sentiasa berhubung.
“Dalam berhubung itu kami bincang pelbagai perkara. Oleh kerana Melaka sudah dekat pilihan raya, kemungkinan kita akan membuka tajuk itu," katanya selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Pada 8 Ogos lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu masih membuka ruang perundingan berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Melaka termasuk pertukaran kawasan, asalkan ia dibuat dengan jujur dan ikhlas.
Beliau berkata prinsip asas perundingan itu menetapkan kerusi yang telah dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.
Susulan pengumuman itu, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keterbukaan berkenaan wajar disantuni demi masa depan serta kestabilan politik Melaka, selain kepentingannya terhadap negara.
-- BERNAMA