Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Siapa rakan BN? Rakyat tentukan - Ab Rauf

TB_RAUF YUSOH_AWANI
Ab Rauf bercakap kepada media ketika melawat laman media selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bakal menawarkan formula “BN Plus” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan rakan strategik terbaik bagi membentuk kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, landskap politik negeri itu mempunyai keunikannya tersendiri dan tidak semestinya mengikut formula kerjasama di tempat lain.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi BN negeri berkata, gabungan itu akan memberikan pilihan kepada rakyat untuk menentukan bentuk kerjasama yang diinginkan.

“Kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih siapakah rakan strategik yang terbaik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat laman media selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang rundingan dengan parti politik yang berminat untuk bekerjasama hanya akan dimulakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

“Kita belum berunding lagi kerana saya menegaskan bahawa segala perundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk berada di pentas demokrasi Melaka hanya dibuat selepas pembubaran Dewan,” katanya.

Dalam soal pembahagian kerusi, Ab Rauf menegaskan BN tidak akan berkompromi terhadap 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu.

Menurutnya, parti lain wajar mempertahankan kerusi yang dimenangi masing-masing, manakala BN akan bertanding semula di semua kawasan yang dikuasainya pada pilihan raya berkenaan.

“Kita bertanding di tempat kita. Tujuh kerusi yang lain, parti yang menang bertandinglah dan pertahankan kerusi mereka. Kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.

Mengenai tarikh pembubaran DUN, beliau berkata pengumuman akan dibuat apabila tiba waktunya, namun mengakui tempoh yang ada semakin singkat.

“Bila tiba waktunya nanti saya akan umumkan, tetapi waktunya tidak berapa panjang dan tidak berapa pendek.

“Gerak kerja kita sudah bermula sejak dua tahun lalu. Kita hanya menunggu masa melabuhkan tirai gerak kerja ini sebelum membubarkan Dewan,” katanya lagi.

Penggal DUN Melaka ke-15 akan tamat pada 27 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, manakala PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Must Watch Video

Advertisement