Skip to main content

Dunia

CDRI buka ruang kerjasama Malaysia perkukuh ketahanan infrastruktur

Amit Prothi CDRI
Amit Prothi berkata, pengalaman Malaysia dalam pengurusan bencana serta kepakaran pasukan seperti NADMA dan SMART boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kerjasama penyelidikan, piawaian teknikal dan perkongsian kepakaran di peringkat ASEAN.
Advertisement

NEW DELHI: Malaysia berpotensi memperkukuh kerjasama dengan Gabungan Infrastruktur Berdaya Tahan Bencana atau Coalition for Disaster Resilient Infrastructure (CDRI) bagi meningkatkan ketahanan infrastruktur negara terhadap risiko bencana, khususnya banjir dan cuaca ekstrem.

Ketua Pengarah CDRI, Amit Prothi berkata, pengalaman Malaysia dalam pengurusan bencana serta kepakaran pasukan seperti NADMA dan SMART boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kerjasama penyelidikan, piawaian teknikal dan perkongsian kepakaran di peringkat ASEAN.

Menurutnya, ASEAN merupakan antara rantau yang paling terdedah kepada pelbagai bencana termasuk banjir, tanah runtuh, tsunami dan gempa bumi.

“Terdapat pengalaman kolektif yang luar biasa di ASEAN. Banyak negara di rantau ini sudah lama mengusahakan agenda infrastruktur tahan bencana.

“Kami mahu membina perkongsian supaya pengalaman ASEAN dapat dikongsi dengan negara lain di dunia, dan pada masa sama pengalaman dari negara lain dapat dibawa kembali ke rantau ini,” katanya pada sidang media di sini. 

Beliau ditemui pemberita dari pelbagai negara yang menyertai Lawatan Pengenalan ke India anjuran Kementerian Hal Ehwal India, yang berlangsung dari 9 hingga 18 September ini.

Prothi berkata, perubahan corak risiko bencana menjadikan usaha memperkukuh ketahanan infrastruktur semakin penting, termasuk di Malaysia yang berdepan isu banjir di kawasan bandar serta cabaran cuaca panas melampau.

Katanya, kerjasama itu boleh merangkumi aspek seperti perancangan infrastruktur, utiliti, tenaga dan telekomunikasi bagi memastikan kemudahan kritikal mampu beroperasi ketika bencana.

“Jadi, adakah terdapat peluang untuk kita bekerjasama dalam agenda-agenda ini? Pada saya, adalah sesuatu yang baik sekiranya Malaysia menyertai (CDRI),” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak negara ASEAN menyertai CDRI bagi memperkukuh jaringan perkongsian pengalaman dan kepakaran.

Ketika ini, Vietnam merupakan antara negara ASEAN yang menjadi anggota CDRI, manakala Filipina dijangka menjadi anggota ke-71 selepas menyertai gabungan berkenaan.

CDRI ditubuhkan sebagai satu gabungan antarabangsa yang menyokong usaha membina infrastruktur yang lebih berdaya tahan terhadap bencana, selaras dengan agenda pengurangan risiko bencana di bawah rangka kerja Sendai (Sendai Framework).

 

Must Watch Video

Advertisement