AYER KEROH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, SOP yang dikenakan ketika ini memberi kesan kepada petugas jentera di lapangan sekali gus menyukarkan kempen dijalankan.

"Seolah-olah tak boleh buat apa. Lebih baik tiada pilihan raya. Lebih baik kita main bertepuk bertampar sahaja di rumah.

"Saya hairan kerana kita dapat laporan jentera kita tak boleh pasang bendera, tidak boleh ada bilik gerakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Di situ orang akan bermesyuarat pagi memberikan maklum balas ke Command Centre, jadi saya harap supaya SPR memikirkan semula dan tak usah terlampau sangat... sampai ada ambil yang ambil kad pengenalan petugas jentera," jelasnya.

Tambah Mohamad Hasan, ia sedikit sebanyak merencatkan pergerakan jentera dalam memasang poster serta bendera BN di sekitar negeri itu.

Ujarnya, meskipun memahami larangan dikenakan untuk mengurangkan jangkitan COVID-19, namun tambahnya kelonggaran perlu diberikan terutama kepada calon dengan SOP yang ditetapkan.

"Jentera kami trauma, takut... Itu sebabnya tidak banyak bendera BN dan poster, kerana mereka takut nak keluar. Ini amat sedih.

"Kita nak amalkan demokrasi di negara ini tapi masa sama kita faham kerajaan perlu kekalkan SOP ketat, bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak merebak.

"Tidak ada ceramah kita faham, tetapi takkan sampai menghantar poster ke rumah pun tak boleh, tak boleh berjalan walkabout. Kita tak buat ceramah besar-besara. Kalau tak (diebanrkan) berjalan ke rumah itu keterlaluan.

"Kita kecewa. Selaku Pengarah Pilihan Raya, saya mohon pihak berkenaan duduk semula dan lihat semula SOP yang amat ketat ini," jelas beliau.

Tambahnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River dan Chini sebelum ini memperlihatkan kejayaan tanpa sebarang kluster berlaku.

Justeru, kaedah kempen perlu diperhalusi semula oleh SPR agar memberi ruang kepada parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu.

"Kita benarkan berkempen, tetapi dengan syarat minimum orang terlibat dan terbabit.

"Boleh kita buat, dah berjaya dah pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River, Chini. UMNO dan BN orang kata mengambil SOP dengan serius sebab itu tiada ada apa-apa insiden," katanya lagi.