Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Sumbangan perayaan Deepavali bukan ‘gula-gula’ pilihan raya - Ab Rauf

Ab Rauf menyampaikan sumbangan Deepavali Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026, di Masjid Tanah, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ FIRDUAS MOHARI
Ab Rauf menyampaikan sumbangan Deepavali Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026, di Masjid Tanah, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ FIRDUAS MOHARI

Advertisement

MASJID TANAH: Sumbangan sempena perayaan Deepavali yang disalurkan kerajaan negeri Melaka kepada masyarakat India bukan bertujuan meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada dasar Melaka Sayang Rakyat.

Katanya lagi, bantuan itu tetap disalurkan kepada rakyat walaupun perayaan berkenaan tidak berlangsung dalam tempoh kempen pilihan raya.

“Ini sebenarnya apa yang kita beri, kebetulan Deepavali jatuh dalam tempoh kempen pilihan raya. Kalau tak jatuh pun, tetap kita beri juga.

“Jadi tak ada kena-mengena sama ada Deepavali, pilihan raya tak ada kena-mengena. Ini adalah dasar kerajaan Melaka Sayang Rakyat untuk kita sampaikan bantuan kepada rakyat tak kira bila-bila masa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026, di sini, pada Khamis.

Ab Rauf berkata, seramai 1,000 penerima menerima bantuan berjumlah RM200,000 sempena perayaan Deepavali tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, Parlimen Masjid Tanah diperuntukkan sebanyak RM36,000 kepada 180 penerima.

Beliau berkata, inisiatif itu turut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam mengukuhkan hubungan dengan rakyat, tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Bantuan berkenaan disalurkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikunjungi.

“Jadi diharap sempena Deepavali ini, silaturahim antara kerajaan dan rakyat dapat dijalinkan dalam keprihatinan konsep Melaka Sayang Rakyat ini, dapat disalurkan sehingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira warna kulit,” jelas beliau.

Ab Rauf memaklumkan, sepanjang 2021 hingga September 2026, sebanyak RM90.55 juta Bantuan MeSRa Kebajikan telah disalurkan kepada
lebih 42,500 penerima di seluruh negeri Melaka.

Pada masa sama, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan melebihi RM3 juta kepada komuniti India dan Cina menerusi pelbagai bentuk bantuan,
termasuk sumbangan sempena perayaan serta bantuan kepada rumah-rumah ibadat.

Must Watch Video

Advertisement