SEREMBAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kini sudah memasuki minggu akhir, minggu kritikal buat semua calon.

Menggunakan analogi kereta, kalau sebelum ini kempen bergerak pada gear satu, di minggu terakhir ini lazimnya sudah di gear lima, pecutan pun makin laju.

Enam negeri, begitulah ceritanya, tidak banyak pun bezanya.

Termasuklah di Negeri Sembilan yang memperlihatkan semua parti, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) optimis dengan peluang mereka.

Bagi Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sokongan terhadap parti itu dilihat kukuh apatah lagi selepas siri ceramah pemimpin parti sentiasa mendapat sambutan.

Bahkan, katanya, setiap kali Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejakkan kaki ke negeri itu, kehadiran pasti ‘full house’.

“Sokongan untuk mendengar ceramah untuk mendengar amanat daripada pimpinan telah mula membuak di Negeri Sembilan.

“Ini menunjukkan sokongan penuh kepada pimpinan PH dan BN menunjukkan satu kombinasi yang baik.

“Kita melihat bahwa kerjasama ini dapat kita tunjukkan. Saya yakin lonjakan kepada jumlah sokongan itu akan bertambah baik,” katanya kepada Astro AWANI.

Di sebalik keyakinan itu, Timbalan Pengerusi PN negeri, Rafiei Mustapha menegaskan mereka yakin dengan peluang parti itu di Negeri Sembilan.

Tegasnya, mereka menyasarkan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan yakin menang 20 kerusi.

Bahkan, katanya, kempen semua calon mereka mendapat sambutan positif termasuk daripada penyokong UMNO juga.

“Ini menambahkan lagi keyakinan kita bahawa tidak mustahil untuk kita rampas Negeri Sembilan khususnya di DUN Pilah, kita akan dapat kemenangan.

“Saya yakin dengan perkembangan sekarang ini. Saya dapat rasakan gelombang itu begitu kuat sekali dan kita dapat melihat sokongan rakyat.

“Di mana-mana saja kita pergi, kita mendapat sambutan, respons yang begitu baik daripada masyarakat,” ujarnya.

Ini pula respons balas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Saya alu-alukan harapan dan cita-cita mereka. Saya harap supaya mereka berusaha dengan lebih kuat untuk menakluki Negeri Sembilan.

“Saya tidak kata mereka mempunyai angan-angan kosong tetapi mereka boleh berusaha, mereka boleh menyatakan berapa kerusi yang mereka mampu menang…20 kerusi, 29 kerusi, malah 36 kerusi.

“Tetapi kita akan tunggu dan lihat keputusan yang akan dibuat pengundi kita pada 12 Ogos,” katanya.

Berbicara dengan ahli politik, begitulah normanya, tetap yakin walau apa berlaku namun bagi penganalisis politik, pandangan mereka lebih bersifat neutral dan kritis.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berpendapat, mungkin akan berlakunya kejutan namun untuk bertukar kerajaan, ia agak sukar.

“Mungkin ada satu dua kejutan tapi di peringkat saya, saya melihat agak sukar untuk PN menawan Negeri Sembilan kerana ada beberapa faktor, antaranya calon tangkap muat.

“Dari segi manifesto pun, agak kabur. Kalau saya perhatikan manifesto itu, tidak spesifik, tidak seperti mana manifesto yang diberikan PH-BN.

“Jadi ini antara satu, dua perkara yang menjadi permasalahan kepada PN” katanya kepada Astro AWANI.

Hakikatnya, semua parti boleh laungkan keyakinan namun 12 Ogos nanti menjadi penentunya dan suara rakyat bakal menoktahkan segalanya.