SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum diumumkan akan diputuskan esok selepas perbincangan dengan pihak berkaitan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan rundingan yang masih berlangsung melibatkan BN dengan pihak lain.
“Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok akan ditentukan, malam esok,” katanya ringkas kepada media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Paroi, pada Selasa.
Terdahulu, BN mengumumkan 25 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, manakala baki 11 kerusi masih belum diumumkan sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai agihan kerusi dan rundingan yang sedang berlangsung.
Pada Isnin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi Pilihan PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Jelasnya, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa tidak ada sebarang perbincangan dengan Pas mengenai hala tuju strategi politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.
Pada PRN2023, BN memenangi 14 daripada 17 kerusi Dun yang ditandinginya, PH dengan 17 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.