Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: "Apabila ego diketepikan, lahirlah kekuatan yang tidak mampu dibina sendirian" - MB Kelantan

MB Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud… kredit FB Mohd Nassuruddin
Nassuruddin berkata, penyatuan yang terbentuk membuktikan bahawa perbezaan dapat diketepikan sekiranya semua pihak meletakkan persaudaraan dan matlamat perjuangan sebagai keutamaan. - Gambar Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam menterjemahkan kenyataan apabila perbezaan diketepikan dan semangat persaudaraan diutamakan, gabungan tersebut mampu membentuk satu kekuatan politik yang lebih ampuh berbanding bergerak secara berasingan.

Merujuk pada senario berkenaan juga, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merumuskan, penyatuan antara dua kekuatan politik utama sebagai satu kemenangan besar buat agenda perpaduan umat, sekali gus membuktikan kematangan politik yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi perbezaan.

Menurut beliau, perkembangan itu bukan sekadar kemenangan sebuah gabungan politik, sebaliknya kejayaan merealisasikan cita-cita yang telah lama diperjuangkan serta diharapkan oleh rakyat.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai tidak seharusnya diraikan dengan sikap bermegah-megah atau mempertikaikan pihak yang lebih berjasa, sebaliknya perlu disambut dengan penuh rasa syukur, tawaduk dan keinsafan.

"Semakin besar kemenangan yang dikurniakan Allah SWT, semakin besar amanah yang wajib dipikul.

"Rakyat telah memberikan keyakinan mereka melalui peti undi dan kini menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menterjemahkan kepercayaan itu kepada pentadbiran yang berintegriti, adil, prihatin dan benar-benar membela kepentingan rakyat," katanya dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Ahad.

Nassuruddin berkata, penyatuan yang terbentuk membuktikan bahawa perbezaan dapat diketepikan sekiranya semua pihak meletakkan persaudaraan dan matlamat perjuangan sebagai keutamaan.

Menurut beliau, gabungan kekuatan yang lahir daripada semangat kerjasama dan persefahaman itu tidak mungkin dapat dibina secara bersendirian oleh mana-mana pihak.

"Ini adalah makna sebenar Penyatuan Ummah, bukan hanya bersatu ketika mengecapi kemenangan, tetapi terus berpimpin tangan ketika memikul amanah rakyat," katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap ikatan yang terbina akan terus diperkukuh demi melahirkan sebuah negeri yang lebih makmur, negara yang lebih kukuh dan masyarakat yang lebih bersatu.

Beliau turut menyifatkan Negeri Sembilan sebagai "guru politik baharu" susulan kejayaan yang dicapai menerusi pendekatan penyatuan tersebut.

"Biarlah sejarah mencatat bahawa kemenangan ini bukan kerana kuatnya satu parti, tetapi kerana bersatunya hati-hati yang mengutamakan ummah," katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan semalam, BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi sekali gus membolehkan penubuhan kerajaan negeri.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Must Watch Video

Advertisement