KUALA KLAWANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir berhasrat meneruskan agenda pembangunan ekonomi Jelebu sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri ini.
Antara fokus utamanya ialah merealisasikan pembinaan kawasan ala Rehat dan Rawat (R&R) serta cadangan penubuhan sebuah universiti di daerah itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan setempat.
“Jika mandat ini diberikan kepada saya, pembangunan kawasan itu tidak besar tetapi saya nak buat R&R supaya orang yang melalui kawasan Jelebu ini bukan saja lalu, tetapi berhenti dan berbelanja di sini, dan ekonominya akan berkembang.
“Jelebu dan terutamanya Pekan Kelawang ini, popular untuk orang lalu dengan kereta ‘vintage’, motosikal berkuasa tinggi, malah skuter lama jadi kita nak manfaatkan ekonominya supaya mereka berhenti di sini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, sekiranya lebih ramai yang singgah di kawasan itu, perkembangan ekonomi tempatan berpotensi menarik pelaburan dalam sektor perhotelan dan industri berkaitan.
Dalam pada itu, Bakri yang merupakan penyandang kerusi itu turut mencadangkan penubuhan sebuah universiti di Jelebu sebagai pemangkin pembangunan daerah berkenaan.
Katanya, kewujudan institusi pengajian tinggi mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta pembangunan kawasan sekitar.
“Saya cadang kepada Menteri Besar sebelum ini, kenapa tidak, saya ada tanah yang agak besar untuk satu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang kecil dan kita buat Universiti Malaysia Negeri Sembilan.
“Saya rasa Negeri Sembilan dengan ada beberapa negeri lagi yang belum ada ‘Universiti Malaysia’ negerinya.
“Namun, setakat ini idea itu belum dapat direalisasikan kerana kekangan kewangan,” katanya.
Dalam pertandingan tiga penjuru, Bakri dicabar calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adib Musa dan calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais yang merupakan sepupu beliau.